Labels

Friday, November 27, 2015

Negara Rahmah, Langkah untuk berdakwah



"Apabila Malaysia diperintah oleh Islam, rakyat akan merasa aman dan selamat. Termasuklah bukan Islam. Tidak pula mereka merasa takut atau gerun apabila Islam memerintah."

Itulah negara rahmah yang telah diterangkan oleh Presiden IKRAM dalam satu perhimpunan. Gambaran negara rahmah yang akan dicapai di Malaysia. Kita mahu undang-undang syariah menjadi teras utama dalam menjaga keamanan negara. Kerana di dalamnya sangat menitik beratkan keadilan dan kebenaran.

Dalam menyampaikan hasrat ini, kita tidak mahu berkata kepada bukan Islam,
"Bila Islam memerintah, siaplah kalian. Jangan ingat boleh buat macam-macam."
Suatu kata-kata yang berbunyi mengancam atau menakut-nakutkan mereka.

Tapi sebaliknya kita berkata dengan jiwa seorang da'ie, "Kamu akan aman dan selamat di bawah undang-undang Islam." Ungkapan seumpama ini tidak akan menakutkan mereka. Malahan mereka lebih terbuka untuk menerima undang-undang Islam. Mereka tidak merasa terancam dengan pemerintah Islam.

Ini selari dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud,
 "Dan tiadalah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Al-Anbiya: 107) 
***

Teringat pula kisah di zaman Rasulullah S.A.W. Kisah mengenai sahabat Rasulullah yang digelar Abu Ubaidah al-Jarrah.

Suatu hari Rasulullah S.A.W didatangi oleh wakil dari sebuah perkampungan Nasrani. Mereka memohon agar Rasulullah S.A.W menghantar orang terpercaya baginda untuk mengadili perdebatan harta di kampung mereka. Dan akhirnya Rasulullah memilih Abu Ubaidah al-Jarrah untuk mengadilinya. Dari situlah beliau diberi gelaran "orang kepercayaan ummat".

Dari kisah ini, kita cubagambarkan keadaan pada ketika itu. Di zaman pemerintahan Islam di Madinah oleh Rasulullah S.A.W. Betapa kepercayaan penduduk nasrani terhadap penghakiman oleh pemerintah Islam.

Pertimbangan yang dibuat berasaskan al-Qur'an dan As-Sunnah. Nasrani dapat menerima keputusan yang dibuat. Mereka sendiri datang kepada pemerintah Islam untuk menghakimi mereka. Tidak pula mereka meminta paderi dari kalangan mereka.

***

Kita ingin membina sebuah negara yang harmoni. Walau di dalamnya ada pelbagai kaum dan agama, tapi di bawah pemerintahan Islam, mereka berasa selamat. Mereka boleh meneruskan hidup tanpa rasa terancam dengan undang-undang syariah. Malahan mereka menerima dan mengikutnya.

Keharmonian ini dibentuk dari kefahaman masyarakat Islam itu sendiri. Masyarakat yang memahami adab dan akhlak. Tujuan setiap perkara dinilai berdasarkan pahala dan dosa. Akhirnya ia membina sikap toleransi serta hormat menghormati sesama manusia.

Apabila negara berada dalam keadaan harmoni, maka mudahlah untuk mengajak yang bukan Islam untuk mengenali dan mendekati Islam. Usaha dakwah tetap diteruskan walaupun Islam memerintah. Usaha ini bermula sejak dahulu lagi. Dan sekarang ia perlu diperhebatkan lagi agar lebih ramai yang mengenali Islam.

Dalam melaksanakan dakwah ini, haruslah kita mengelakkan perdebatan atau perbalahan yang tidak menguntungkan Islam. Di dalam negara yang berbilang agama ini pula, kemanan sejagat adalah suatu perkara yang penting.

Kini masanya untuk kita menjelaskan kepada mereka tanpa provokasi-provokasi yang akan membantutkan usaha-usaha dakwah ini. Kita jelaskan dengan kata-kata yang menyenangkan.Laras bahasanya boleh difahami oleh semua pihak.

Saya lihat, tidak perlu terlalu fokuskan pada perbezaan, tetapi perbanyakkan persefahaman. Siapa tahu, suatu hari nanti semuanya bersatu mempertahankan keamanan negara. Bukankah kita disarankan di dalam al-Qur'an, 
"Wahai manusia sesungguhnya kami jadikan kamu lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal-mengenal. Sesungguhnya sebaik-baik kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu." (Al-Hujurat: 13)

Perbezaan itu adalah ruang untuk kita berkenalan dan berdakwah.

Apa yang penting, usaha dakwah perlu diteruskan sehingga tercapainya negara rahmah itu. Saya percaya, apabila Islam memerintah dengan syariah Islamnya, lebih ramai akan menerima Islam sebagai cara hidup mereka.

Sebagaimana berbondong-bondongnya orang masuk Islam apabila Kota Yathrib(Madinah) didirikan dengan sistem pemerintahan Islam yang adil, bijaksana dan harmoni. Akhirnya apa yang ingin kita capai adalah redha Allah melalui usaha dakwah ini. Negara rahmah juga adalah satu langkah dakwah yang akan kita lalui demi menyebarkan Islam ke seluruh dunia.

“Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan engkau lihat manusia masuk ke dalam Agama Allah dalam keadaan berbondong-bondong. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohon ampunlah kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah sangat Pemberi Taubat." (An-Nashr: 1-3)




Wallahua'lam.

Monday, November 23, 2015

Muwajjih ke Muayasyah?

Pernah sekali ditanya mengenai tajmik ahli-ahli usrah.
Ada kawan minta bawakan usrah kenalan nya yang berminat dengan usrah. Saya bercadang untuk menjadi muwajjih dalam beberapa siri program umum untuk membina tsiqah nya sebelum dia diusrahkan dengan saya. Bila dia selalu nampak saya jadi muwajjih, senang lah untuk dia tsiqah dan ikut usrah dengan saya. Apa pandangan?
**
Kadang-kadang kita terlebih fokus membina tsiqah dengan memberi taujihat di hadapan. Dengan harapan itu dapat membantu proses pentarbiahan apabila usrah dibentuk.
Tapi kita selalu lupa bahawa kunci keterikatan dalam sebuah usrah adalah ukhuwah. Ianya tidak dibina hanya dengan tsiqah sebagai muwajjih sahaja. Yang lagi penting adalah ikatan hati atas dasar Iman. Iaitulah ukhuwah islamiah.
Muayasyah lah yang banyak membentuk tsiqah yang lebih mesra. Kerana ia bermula dengan hati. Lebih santai. Tidak formal. Dan lebih terbuka untuk berkongsi apa sahaja.
Kerana akhirnya, usrah adalah tarbiah dalam bentuk one-to-one. Perlukan sentuhan dari dekat. Dari hati ke hati. Dan membentuk peribadi.
Bacalah buku tulisan Syeikh Mustafa Masyhur, 7 Tahapan Dakwah Fardhiah. Beliau seorang yang berpengalaman dalam psikologi manusia. Dan di dalam buku itu diberi contoh-contoh praktikal yang boleh dijadikan panduan.
Sekian.

Monday, June 3, 2013

Aku ingin Menulis untuk Merubah!

Sedari awal menulis blog ini, hasrat hati hanyalah untuk mengikut rentak irama para anak muda yang menggelarkan diri sebagai pem'blog'(baca: blogger). Dalam masa yang sama, ingin mengasah bakat menulis yang entah ada ke tidak bakatnya. tapi tak mengapalah, asalakan dapat minum sambil menyelam. Ehheh.


Namun semakin lama semakin ku coba mengharmonikan tujuan itu. Agar ianya lebih bermatlamat besar dan memberi manfaat yang besar, walaupun jumlah pembacanya tak besar.

Nah. Kini diri ini berhasrat menggunakan penulisan ini sebagai jalan untuk menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran di alam maya ini. Setiap ayat-ayat yang ditulis ini tidak lain adalah bertujuan untuk merubah manusia ke arah yang lebih baik.

Bagiku, merubah manusia bermakna merubah sebuah masyarakat. Merubah masyarakat sebenarnya akan merubah sebuah Negara. Akhirnya dunia akan menjadi lebih baik untuk generasi yang akan datang.

Namun hakikatnya, tulisan ini hanyalah sekadar usaha kecil dari diri yang tersangat kerdil. Blog pun kurang dilawati orang. Huhu. Hanya Allah lah yang berkuasa memberi hidayah kepada hamba-hamba yang dikehendaki-Nya.

Akan ku tetap menulis untuk merubah!

Sunday, May 26, 2013

Bilakah Saat Terakhir

Bilakah saat terakhir aku mensyukuri nikmat kehidupan ini?
Senantiasa punya hari untuk dilalui seusai nyenyak dibuai mimpi,
Kadang diwarnai indahnya pelangi diiring nafas tiada henti.

Bilakah saat terakhir aku menghayati bait-bait cinta dari Illahi?
Lembaran kusam kian berhabuk entah bila kan dibuka kembali,
Leka diulik keindahan dunia terkejar kesibukan cita manusiawi.

Bilakah saat terakhir aku menuruti sunnah kehidupan ar-Rasul?
Sedang baginda teladan termulia tiada dosa perlu dipikul,
Berkorban jiwa serta dirinya membawa risalah yang syumul.

Bilakah saat terakhir aku mencium pipi kedua ibu dan ayah?
Mereka melahirkan serta membesarkan ku dengan payah,
Sedang selaku anak membalasnya ku rasakan susah.

Bilakah saat terakhir dahi ini sujud ke tanah menyembah Yang Esa?
Kehambaan diri hina serta kerdil di hadapan-Nya ingin ku rasa,
beribu alasan dicipta kadang melakukan kerna terpaksa.

Bilakah saat terakhir telapak ini ditadah memohon keampunan dari-Nya?
Sedang saat-saat yang berlalu dipenuhi dosa mengejar dunia,
Sedang di langit itu setiap detik terbentangnya rahmat keampunan-Nya.

Bilakah saat terakhir mata ini bergenang menyesali segala dosa?
Meruntuh ego kesombongan merendah diri di hadapan Yang Esa,
Sedang diri penuh kejahilan, merasa diri sungguh berkuasa.

Bilakah saat terakhir bibir ini menyusun zikir mengingati-Nya?
Mensyukuri serta memuji keagungan serta keindahan ciptaan-Nya,
Membesarkan-Nya merasa diri sungguh lemah tiada daya upaya.

Wednesday, May 22, 2013

Aku juga ingin menulis ;)

"Hebat betul tulisan dia ni, walau di usia muda, lebih muda dari aku plak tu. Aku tak habis-habis berangan nak tulis buku. Tengok-tengok orang lain dah terbitkan buku. Haish. Bila nak start ni??"


Persoalan yang selalu terbuku di sanubari hatiku.
Sudah lama aku menanam niat untuk menulis buku. Cita-cita ini bermula apabila mula bertemu dengan buku-buku hebat dan berkesan buat diriku. Buku-buku yang ditulis oleh penulis-penulis muda. Bagaimana telah memberi impak dan menjadi bualan ramai, lebih-lebih lagi dalam kalangan anak muda.

Sungguh dakwah melalui penulisan buku ini sangat berkesan. Rugi jika tidak mencubanya. Sedang ISHAB juga menulis risalah-risalah dakwah buat ikhwannya dan masyarakat Mesir pada ketika itu. Sehinggakan membentuk suatu revolusi dalam dunia Mesir. 


Melihatkan mereka ini telah laju di dalam dakwah penulisan, aku juga ingin menulis. Tapi kadang-kadang semangat di awalan, tapi akhirnya kecundang dek keributan kerja yang senantiasa menjadi alasan. Sungguh kurang nya iltizamku dengan apa yang diniatkan. Sampaikan mengambil main selamat(baca: safe play) dengan memujuk diri bahawa niat pun dapat dah satu pahala. Huh. Kalau macam ni memang takkan ke mana lah.

Setelah lama memendam rasa, akhirnya ku luahkan hasrat hati kepada sahabat-sahabat yang sejati. Alhamdulillah, walaupun diberi idea-idea yang berseloghoh, namun aku tetap mengambil serius semua idea itu. Mungkin itu boleh menjadi sumber semangat dan ilham untukku mencari jawapan kepada hasrat hati ini. Mereka tetap mencucuk ku tatkala aku terlupa akan niat ini. Trimas buat semua. Semakin hari semakin membuak-buak perasaan nak menulis buku.


Kerna itulah aku mula memanaskan badan sambil mencari ilham. Memanaskan badan melalui blog ini. Selangkah demi selangkah disusun untuk menuju ke meja tulis. Bermula dengan idea-idea judul dan tema pelik daripada sahabat-sahabatku. Akhirnya, aku mengumpulkan bahan bacaan menggunakan baucer buku dari kerajaan Malaysia. Trimas kerajaan Malaysia.

Kini RM200 baucer buku telah digunakan dan hasilnya beberapa buku dengan tema yang sesuai dengan hasrat hati telah diperolehi. Pembacaan telah dimulai. Sungguh, semakin rancak idea datang menjunam ke gaung fikiran. Terpaksa membeli buku nota yang mudah dibawa ke mana-mana. Demi mencatit segala ilham dan buah fikiran hasil daripada pengamatan terhadap kehidupan.


Alhamdulillah. Penulisan kini menemui titik permulaan. Walau tembakan permulaan telah lama diajukan, namun ku tetap melangkah meneruskan larian. Garisan penamatnya masih jauh. Aku masih ada peluang. Aku akan tetap berlari. Biar tersungkur akan ku bangun kembali.

Terima kasih semua kerna banyak memberi dorongan. 
Akan ku siapkan buku ini. 
Nanti lah!